IPOH – Persengketaan dua jiran berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam satu pergelutan di pekarangan rumah mereka di Bangunan Foo Yip Kai, Jalan Sultan Iskandar di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, pergaduhan itu tercetus apabila mangsa, Choor Por, 74, mengambil gambar suspek sebelum berlakunya pertikaman lidah antara mereka.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 51 tahun mengunjungi rumah bekas isterinya bagi menghantar anak perempuan mereka ke stesen bas.

Menurutnya, suspek telah bertembung dengan mangsa bersama isteri dan dua anaknya sebelum berlakunya pertengkaran.

“Akibatnya, suspek bertindak mengeluar pemutar skru tayar dan berlakunya pergelutan antara mereka. Suspek turut mencekik mangsa sebelum terjatuh.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, gerakan dijalankan selepas menerima maklumat terbabit dan menahan suspek yang menerima rawatan di hospital sama.

“Mangsa mempunyai dua kesan kecederaan di kepala dipercayai dipukul dengan perkakas terbabit.

Bagaimanapun, kita menunggu hasil bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Siasatan lanjut mendapati, dua keluarga ini sering berlaku perselisihan faham sejak lapan tahun lalu dan membuat beberapa laporan polis sejak 2014,” katanya.

Mohd Ali berkata, siasatan diteruskan dengan mengambil keterangan ahli keluarga mangsa dan jiran.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya – sinar