SATU kes rabies atau penyakit anjing gila dalam kalangan manusia disahkan melalui ujian sampel klinikal semalam, membabitkan seorang lelaki berusia 21 tahun tinggal di Batu 7, Kuching, Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit pernah digigit seekor anjing tidak bertuan pada 4 Oktober lalu dan status vaksinasi haiwan itu, serta keadaan kesihatannya tidak diketahui.

Menurutnya, selepas digigit, pesakit tidak mencuci luka gigitan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan selain hanya membeli ubat di farmasi untuk disapu di luka berkenaan.

“Pada 21 November lalu, pesakit sakit di bahagian belakang badannya dan mengadu jatuh sehari sebelumnya serta tidak memaklumkan dirinya pernah digigit anjing.

“Susulan itu, pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 24 November lalu, apabila mengalami lemah kedua-dua kaki dan dimasukkan ke wad manakala pemeriksaan mendapati, pesakit mempunyai gejala hydrophobia, aerophobia dan kekeliruan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pesakit kini sedang menerima rawatan dan dalam pemerhatian rapi pakar klinikal HUS.

“Dengan pengesahan terbaru ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak pengisytiharan wabak pada 30 Jun tahun lalu adalah 14 kes, membabitkan 12 kes sudah meninggal dunia dan satu kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi manakala kes terbaru ini masih dalam rawatan.

“Sehingga 25 November lalu, Kerajaan Negeri Sarawak mengisytiharkan 54 kawasan di 11 bahagian di negeri berkenaan sebagai kawasan jangkitan rabies. Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan semula dan menegaskan kepada orang awam supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada penyakit rabies.

Antaranya, cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

Katanya, dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar.

Selain itu, pastikan anjing peliharaan sudah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar “Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkah laku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran,” katanya – hemtro