IPOH: Polis menahan seorang lagi lelaki ekoran kejadian seorang lelaki maut selepas mengalami cedera parah akibat ditetak dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan di luar sebuah pusat hiburan di Bandar Baru Medan Ipoh, pada Ahad.

Penahanan itu menjadikan enam ditahan berhubung kes tersebut setakat ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, lelaki ke enam itu ditahan di sekitar Ipoh pada Isnin.

“Dia akan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi kejadian seorang wanita dikhuatiri terjatuh Sungai Pinji di Pengkalan Pegoh di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, lima lelaki berumur antara 20an hingga 30an tahun ditahan reman selama tujuh hari sehingga 26 Mei depan ekoran kejadian pergaduhan itu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai S. Kanakaran, 35, bekerja sebagai pemandu, dipercayai diserang empat lelaki bersenjatakan parang.

Mangsa meninggal dunia sekitar jam 8 pagi hari yang sama ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Pergaduhan dipercayai bermula di dalam pub dan pemeriksaan awal polis mendapati terdapat beberapa kesan tetakan pada tubuh mangsa.