Oleh:Nazialita Geynna Maharan

LENGGONG: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan tiga
buah kenderaan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan
Hulu berhampiran Kampung Selat Pagar di sini, meninggal dunia awal pagi Isnin.

Kematian mangsa, dikenali sebagai Wong Mei,56,di Hospital Taiping pada pagi Ahad menjadikan jumlah keseluruhan empat wanita maut dalam kemalangan sekitar jam 4.30 petang Sabtu berhampiran Kampung Ayer Kala itu.

Kemalangan itu turut menyebabkan tiga lagi mangsa cedera termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa mengesahkan kemalangan melibatkan dua kenderaan itu menyebabkan tiga mangsa di dalam kereta jenis Perodua Myvi, Wong Mee Lai, 47, Foke Yoke Wah, 25 dan Woke Mei Yong, 44, maut di tempat kejadian pada petang Sabtu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi dinaiki lima mangsa itu dilanggar dari belakang sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta mangsa dalam perjalanan dari Gerik ke Kuala Kangsar. Setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Kia Spectra melanggar bahagian belakang kereta dinaiki lima wanita itu.

“Berikutan perlanggaran tersebut, Perodua Myvi itu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Exora dinaiki lima sekeluarga.

Ismail berkata impak rempuhan itu menyebabkan tiga mangsa dalam Perodua Myvi maut di tempat kejadian dan pemandunya meninggal dunia pada pagi ini di hospital.

” Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, seorang guru wanita dan bayi berusia tujuh bulan dalam pangkuannya yang menaiki kereta jenis Proton Exora cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik.