IPOH: Seorang lagi mangsa susulan dari kemalangan yang melibatkan sebuah van merempuh tujuh orang awam dan tiga belas gerai di Pasar Malam Golden Hill, Cameron Highlands meninggal dunia pada 8.43 pagi tadi di Hospital Batu Pahat, Johor.

Terdahulu mangsa, seorang perempuan yang berumur 52 tahun itu dipindahkan ke hospital tersebut yang berdekatan dengan kampungnya.

Hasil bedah siasat turut mendapati punca kematian disebabkan oleh kecederaan di bahagian kepala akibat kemalangan tersebut.

Sementara itu mangsa lain yang cedera parah dan mengalami patah kaki telah dilaporkan stabil dan telah dibenarkan keluar dari hospital.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Hasadid A. Hamid mengesahkan ujian air kencing pemandu van itu negatif dan dia masih dalam tahanan reman polis bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian ini seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut manakala dua wanita cedera parah selepas dirempuh oleh sebuah van di kawasan gerai Pasar Malam Golden Hill, Cameron Highland pada malam Ahad.

Difahamkan Adra Mustafa Kamal,3, yang berasal dari Kampung Tenglu Laut, Mersing, Johor sedang membelek alat permainan di gerai pasar malam sebelum dirempuh oleh van berkenaan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Kanak-kanak perempuan itu kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata.