KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang daripada 2 lelaki yang menyerang seorang penghantar GrabFood ketika cuba merompak motosikalnya di Phileo Damansara pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd Zani Che Din berkata suspek ditahan 4.45 pagi Sabtu lalu dan mengaku dia bersama seorang rakannya terbabit dalam jenayah itu.

“Polis Petaling Jaya menahan beliau di Taman Kepong kelmarin. Beliau kemudiannya memberikan polis maklumat di mana rakannya yang masih bebas itu berada,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Zani berkata, suspek dan rakannya itu berkenalan ketika mereka menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 2010.

Katanya, suspek mempunyai 3 rekod kes lampau melibatkan kes curi.

Semasa tangkapan itu, polis turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan pada masa kejadian dan sebatang besi pengunci motosikal yang digunakan untuk mencederakan mangsa.

Kelmarin, satu rakaman video tersebar melalui media sosial menunjukkan seorang penghantar GrabFood ditahan dan diserang 2 lelaki dalam satu kejadian mencuri motosikal yang gagal.

Mangsa mengalami kecederaan pada telinga, kepala, belakang badan dan mulut.

Ketika kejadian, beberapa orang awam membantu mangsa dan sebuah telefon bimbit yang ditemui, dipercayai dicicirkan salah seorang suspek.