GOPENG: Seorang lagi maut dalam kemalangan dua buah treler di Kilometer 294.8 Lebuhraya Plus arah Utara berhampiran susur keluar Gopeng pada Rabu, tempat sama yang menyebabkan dua maut, tiga parah dalam kemalangan September lalu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Pegawai Bomba Kanan II Nor Zambri Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 8.13 pagi berhubung insiden berkenaan.

Menurut beliau, setibanya di tempat kejadian, mereka mendapati dua buah treler telah bertembung secara berhadapan dan mengakibatkan seorang mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kami mengambil masa beberapa jam untuk mengeluarkan mangsa dan perjalanan lebuhraya agak terhad,” katanya.

Dalam kemalangan September lalu di tempat yang sama, dua terkorban dan tiga parah apabila kenderaan pacuan empat roda mereka bertembung dengan sebuah lori treler.