AMPANG: Seorang lelaki cedera di bahagian pinggang selepas kren dipandunya tumbang di Jalan Bunga Anggerik, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di sini, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.12 pagi.

download (51)

“Seramai enam anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati satu kren tumbang dan melintang di tengah jalan.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu kren berkenaan, Azri Yahya, 36, cedera di bahagian pinggang dan dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kren berkenaan yang hilang imbangan dan terjatuh di atas jalan.

“Kren yang terjatuh itu menyebabkan laluan utama MRR2 menuju ke Ampang terpaksa ditutup selepas ia merentangi dua daripada tiga lorong di jalan terbabit.

“Keadaan itu menyebabkan kesesakan teruk di lebuhraya berkenaan,” katanya.

Kesesakan lalulintas sepanjang lebih empat kilometer berlaku dari arah Hulu Klang ke Ampang susulan kejadian itu – berita harian