RAWANG: Seorang lelaki lemas ketika memancing di kawasan lombong Simpang 3 Kundang, Batu Arang menghala ke Bandar Country Homes, di sini, semalam.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.28 petang.

“Seramai 16 pegawai dan anggota termasuk skuad penyelam bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, BBP Batu Arang dan BBP Shah Alam dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 30-an lemas ketika memancing di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alimaddia berkata, mangsa ditemui pasukan penyelamat berhampiran lokasi terakhir dia dilihat pada jam 11.55 malam tadi.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya – berita harian