IPOH: Seorang maut dan dua lagi cedera manakala 34 yang lain terselamat dalam kemalangan membabitkan bas ekspres, lori dan treler di Jalan Raya Timur-Barat dekat Gerik di sini tengah malam tadi

mangsa yang maut dipercayai pemandu bas ekspres terbabit manakala mereka yang cedera pula adalah penumpang bas serta kelindan lori.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan pada 12.49 tengah malam.

“Dalam kejadian itu, bas ekspres terbabit dalam perjalanan ke Kelantan bertembung dengan lori membawa muatan habuk kayu sebelum berlanggar dengan treler membawa gelung besi,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya akibat kejadian, pemandu bas berusia 37 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penumpang wanita berusia dalam lingkungan 30-an cedera.

“Pemandu lori terselamat manakala kelindannya seorang lelaki berusia 20-an mengalami kecederaan sementara pemandu serta kelindan treler tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata kesemua 31 penumpang bas yang terselamat menaiki bas lain untuk ke destinasi. – BERNAMA