IPOH: Seorang lelaki maut, manakala tiga cedera selepas dua lori terbabit kemalangan di Kilometer 264.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 3.37 petang itu, penumpang lori jenis Hicom MTB150 yang juga warga Bangladesh, Shushil Chindro Biswas, 37, maut di lokasi kejadian, manakala pemandunya berusia 33 tahun dan seorang lagi penumpang berusia 53 tahun, parah.

Bagaimanapun, pemandu lori jenis Hino berusia 32 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata siasatan awal mendapati satu daripada dua lorong di lokasi kejadian ditutup berikutan pihak Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menjalankan kerja pembaikan di lorong kanan.

Katanya, ketika kejadian, kedua-dua lori berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menghala ke Ipoh.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori jenis Hicom dinaiki ketiga-tiga mangsa hilang kawalan sebelum melanggar belakang lori di hadapannya.

“Berikutan itu, lori yang merempuh itu hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang sebelah kiri jalan, manakala satu lagi lori bergerak ke depan sejauh 200 meter dan turut terbabas ke sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Mohd Ali berkata, susulan kejadian itu, penumpang depan lori Hicom maut di lokasi kejadian dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Seorang lagi penumpang dan pemandu lori sama yang parah serta pemandu lori Hino cedera ringan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.