Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang pelajar kolej swasta maut manakala dua lagi anggota polis cedera parah dalam kemalangan tragis di Kilometer 223.1, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berdekatan susur keluar Taiping pagi Khamis.

Dalam kejadian tersebut, Muhd Hakeem Badrol Hisham, 21, dipercayai telah meletakkan kenderaan di bahu jalan berikutan tayar pancit sebelum dirempuh sebuah lori dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata kejadian tersebut turut menyebabkan dua anggota polis peronda yang berhenti di bahu jalan untuk membantu mangsa menukar tayar, mengalami kecederaan parah.

“Siasatan awal mendapati insiden sekitar 8.30 pagi itu berlaku apabila sebuah kenderaan peronda polis yang dinaiki tiga orang anggota telah berhenti di bahu jalan bagi memberi bantuan kepada kereta mangsa jenis Honda Civic yang mengalami tayar pancit.

1/2

“Semasa memberi bantuan, sebuah lori jenis Hino yang datang dari arah Kuala Kangsar telah hilang kawalan lalu melanggar belakang kereta mangsa,dan juga melanggar belakang kereta peronda.

“Kenderaan mangsa, diseret sejauh 70 meter di bahu kiri jalan manakala lori tersebut terbabas ke bahagian tengah jalan. Berikutan itu mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian badan dan dua anggota polis parah dikejarkan ke Hospital Taiping,”katanya lagi.

Menurut Mohamad Taib, kedua-dua anggota polis, Khairul Zulhamie Mat Deris, 29 dan Mohd Zamri Zainal masing-masing mengalami patah kaki kiri dan kanan manakala seorang lagi anggota mengalami kecederaan ringan.

Jelasnya, siasatan juga mendapati jalan di lokasi kejadian adalah selekoh sistem sehala manakala insiden itu turut menghalang lalulintas.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Pegawai Bomba Kanan II Mustapa Kamal Ismail melaporkan operasi mengeluarkan Muhd Hakeem yang terperosok di bawah kenderaan peronda polis, disebabkan perlanggaran dari arah belakang kereta menggunakan kaedah ‘air bag’.