TAPAH: Seorang maut manakala dua cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 349.4 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini, kira-kira jam 8.30 pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail berkata, pemandu Proton Wira, Muhammad Azry Izwan Rohaizad, 22, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua penumpang yang cedera ialah tunang si mati, Nur Fatin Syuhadah Mohamad Zubir, 22 dan seorang kanak-kanak lelaki yang belum dikenali identiti.

Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan dan melanggar penghadang besi kiri jalan,” katanya di sini, pada Ahad.

Menurutnya, akibat kemalangan tersebut pemandu tersepit dalam kereta dan maut di tempat kejadian manakala dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan.

Mereka kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh bagi imbasan bahagian kepala namun keadaan mereka stabil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.