KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan treler di Kilometer (KM) 6.4 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dari USJ menghala ke Shah Alam, dekat sini, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 7.30 pagi, pemandu Perodua Myvi, Fauzi Mustafa, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpangnya, Mohd Hasnan Mohd Ali, 57, patah tangan kanan.

Bagaimanapun, pemandu treler terbabit, Mazle Mahad, 33, hanya cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata kemalangan berlaku apabila treler berkenaan yang menuju ke arah USJ, dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

Beliau berkata, sebaik memasuki laluan bertentangan, treler itu dikatakan merempuh sisi kanan Perodua Myvi terbabit sebelum melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

“Pemandu Perodua Myvi maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala, manakala penumpangnya patah tangan kanan dan pemandu treler pula cedera ringan di bahagian kaki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam, sementara dua lagi yang cedera dihantar mendapatkan rawatan di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi kejadian itu diharap dapat menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya atau mana-mana balai polis berdekatan ,” katanya – berita harian