KUALA BERANG: Seorang pemandu pacuan empat roda maut, manakala adik dan anak saudaranya parah selepas kenderaan mereka naiki terjunam ke dalam gaung di Kilometer 392 Lebuhraya Pantai Timur 2 Ajil-Bukit Besi, Dungun, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, Mohd Sabri Mohd, 38, dari FELDA Kerteh 6 Ketengah Jaya, Dungun, yang parah di kepala dan badan maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu (HHT).

Beliau berkata, dua lagi mangsa iaitu adiknya, Rozita Mohd, 36, dan anak saudaranya, Tengku Muhammad Ridhwan Tengku Rohaizak, empat tahun, yang parah turut dikejarkan ke HHT untuk menerima rawatan.

Mohd Adli berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan TOYOTA Hilux dipandu mangsa yang membawa muatan marmar dalam perjalanan dari Bukit Payung, Marang ke Dungun hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung.

Katanya, kenderaan itu melanggar penghadang jalan sebelum terjatuh dari jambatan dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 25 meter.

“Ketika kejadian cuaca hujan dan permukaan jalan basah dipercayai menyebabkan kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung.

“Semua mangsa dikejarkan ke HTT untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, Mohd Sabri disahkan meninggal dunia jam 10.10 pagi,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian – berita harian