IPOH: Seorang lelaki warga Bangladesh maut manakala dua rakan senegaranya separuh sedar selepas dipercayai terhidu gas beracun ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan saluran paip gas di sebuah stesen minyak di Jalan Ipoh – Lumut di sini, pada Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi, kesemua mangsa yang dianggarkan berusia 30-an telah berjaya dinaikkan oleh orang awam.

“Anggota EMRS bertindak memberi bantuan kecemasan kepada mangsa namun, seorang tidak memberi respon sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya di sini.

Menurutnya, dua mangsa yang lain telah dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Kita menunggu pasukan Hazmat bagi mengesahkan kandungan gas dalam saluran paip tersebut,” ujarnya.

Setakat ini, maklumat lanjut mengenai mangsa masih belum diketahui.