KUCHING: Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Laksamana Cheng Ho di sini, malam tadi.

Mangsa Law Teck Chin, 31, yang menumpang pikap jenis Mitsubishi Triton disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan, pada jam 10.15 malam itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata kejadian itu berlaku apabila Mitsubishi Triton yang dalam perjalanan dari arah Jalan Song hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan di Jalan Laksamana Cheng Ho di sini.

Katanya, pikap terbabit kemudiannya merempuh dua lagi kenderaan, iaitu Toyota Avanza dan Toyota Vios yang bergerak di laluan bertentangan.

“Anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu Mitsubishi Triton dan Toyota Avanza tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala seorang wanita yang memandu Toyota Vios pula dikejarkan ke HUS untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian