GOPENG: Seorang lelaki maut manakala lima parah dalam kemalangan melibatkan seorang kanak-kanak berhampiran Rumah Aman Pengasih Aman Jaya, dekat sini pada petang Ahad.
Dalam kejadian sekitar 7 malam itu, seorang lelaki maut manakala lima cedera parah melibatkan dua lelaki dan tiga wanita apabila kenderaan mereka bertembung secara hadapan dalam insiden itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Penguasa Bomba Mohd Kamarulzaman Mohd Nawawi berkata bagaimanapun kanak-kanak perempuan terlibat hanya mengalami kecederaan ringan berikutan insiden tersebut.

“Setibanya kami di tempat kejadian, didapati

dua buah kenderaan jenis Proton Saga dan Perodua MyVi telah bertembung dari arah hadapan dan kami turut mendapati kesemua tujuh orang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Insiden tersebut melibatkan dua orang lelaki dari MyVi di mana salah seorangnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan manakala rakannya mengalami kecederaan parah.

“Kami juga mendapati antara lima orang yang menaiki Proton Saga itu, empat mengalami kecederaan parah manakala seorang kanak-kanak terlibat mengalami kecederaan ringan,”katanya kepada pemberita.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan sekitar 7.18 berkenaan insiden yang membabitkan tujuh mangsa tersebut.

Kamarulzaman berkata pihaknya juga telah bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa dan kesemua mereka telah dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

“Mangsa yang telah meninggal dunia diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya manakala operasi tamat sekitar 8.35 petang.