Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TANJUNG MALIM: Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah tiga kenderaan berat di Kilometer 393.3 Lebuhraya Utara-Selatan di sini hari ini.

Insiden itu yang berlaku pada pukul 1 tengahari melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori treler membawa muatan pasir serta sebuah lori kargo.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.45 petang dan bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati seorang lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda itu maut, manakala seorang wanita cedera sementara seorang lagi lelaki terselamat.

“Pihak kami mendapati dua mangsa cedera berikutan tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda tersebut,” katanya lagi.

Menurutnya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim menggunakan alat pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa.

Katanya, impak rempuhan mengakibatkan dua lagi orang lelaki yang berada dalam lori kargo dan lori pasir itu, cedera.

“Operasi menyelamat turut dibantu oleh kakitangan Tol Slim River dan tamat sepenuhnya sekitar jam 3.02 petang,” katanya lagi.