IPOH: Seorang maut manakala tiga cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua kenderaan di Jalan Burung Merak, Taman Ipoh Selatan berhampiran Aeon Mall Kinta City pada  pagi Selasa.
IMG-20170411-WA0002
Kemalangan sekitar 5 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda dan sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang menyebabkan seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Balai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Abd Aziz berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 5.29 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
IMG-20170411-WA0000
“Setibanya kami di tempat kejadian, kami mendapati sebuah kenderaan jenis Proton Wira telah terbabas ke longkang besar dan tergantung pada palang yang merintanginya.
“Mangsa pemandu lelaki terselamat dan berjaya keluar dengan sendirinya namun mangsa yang berada di tempat duduk belakang terhimpit antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan media pada pagi Selasa.
Jelasnya, berikutan rempuhan kuat itu tiga mangsa lain turut mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans manakala seorang lagi selamat.
“Mangsa meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sekitar 6.21 pagi,” katanya lagi.