JOHOR BAHRU: Hanya seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dahlia, Pasir Gudang, disahkan menghidap virus Influenza A selepas mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta, Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata perkara itu dimaklumkan ibu bapa murid itu kepada pihak sekolah selepas mangsa disahkan sihat selepas dirawat selama tiga hari di hospital terbabit.

“Berdasarkan laporan, pihak sekolah sudah mengambil langkah proaktif dengan memindahkan murid kelas terbabit ke bilik lain bagi meneruskan pembelajaran, sementara bilik darjah asal dibersihkan,” katanya dalam laporan penyiasatan mengenai penutupan kelas ekoran kes Influenza di SK Taman Dahlia Pasir Gudang, hari ini.

Berikutan laporan ini, Ayub berkata, pejabat kesihatan sudah menjalankan aktiviti pencarian kes lain di sekolah terbabit.

“Sehingga ini, hanya satu kes saja dikesan disahkan mengalami penyakit Influenza A di sekolah terbabit. Pejabat kesihatan akan terus memantau situasi keadaan dari semasa ke semasa melalui klinik kesihatan terdekat,” katanya.

Beliau berkata, Flu A adalah sejenis penyakit berjangkit saluran pernafasan yang disebabkan virus Influenza A.

“Gejala jangkitan sama dengan gejala seperti Influenza (ILI) lain seperti demam, batuk, selsema, sakit tekak, sakit badan dan lesu.

“Kebanyakan pesakit akan mengalami gejala ringan, namun terdapat sebilangan kecil pesakit yang boleh mendapat komplikasi seperti pneumonia, encephalitis (radang otak) dan boleh menyebabkan penyakit lain bertambah teruk seperti lelah.

“Cara jangkitan adalah melalui cecair batuk atau bersin daripada pesakit yang dijangkiri Influenza A,” katanya.

Katanya, antara langkah pencegahan perlu diambil termasuk mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau penggunaan pembersih antibakteria.

“Amalkan etika batuk yang baik dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda di atas dan elakkan tempat tumpuan ramai, selain memastikan tahap kebersihan persekitaran yang tinggi.-berita harian