LENGGONG: Berpantang maut sebelum ajal.

Melihat kepada keadaan kenderaannya, pasti sukar untuk percaya seorang wanita terselamat daripada maut apabila kereta yang dipandunya remuk dihempap sebuah lori membawa muatan balak.

Namun, wanita itu terselamat dalam kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi Rabu yang melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 31.3 Jalan Kuala Kangsar Gerik, berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Jamalani Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian ketika dihubungi oleh Suara Perak pada petang Rabu.

Menurut beliau, seorang perempuan yang cedera di kaki dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut.

“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori balak, sebuah kereta jenis Proton Iswara dan pacuan empat roda tetapi tiada mangsa maut.

“Cuma pemandu Proton Iswara mengalami kecederaan di kaki manakala pemandu dan penumpang lain tidak cedera dalam kemalangan yang melibatkan tujuh mangsa itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Anuar Mohd Saff berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kes itu kira-kira jam 11.25 pagi.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa wanita tersepit dalam sebuah kereta dan anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa.

“Wanita itu kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut. Lima mangsa wanita dan dua lelaki terlibat dalam kemalangan itu,” ujarnya.

Beliau memberitahu, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong serta Kuala Kangsar terlibat dalam operasi tersebut.

bf60bc7f-2663-4bbb-867b-4295f9855f79