PENGKALAN HULU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas gagal dikesan, ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Air Ibu, dekat sini, pada Rabu.

Lelaki berusia sekitar 29 tahun itu dikatakan mengalami keletihan untuk meneruskan perjalanan ketika menuruni gunung berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, seramai lapan pendaki terlibat dalam aktiviti itu, namun hanya empat daripada mereka yang selamat turun.

“Empat yang lain tersesat ketika turun menyebabkan seorang ahli kumpulan itu tidak berdaya meneruskan perjalanan.

“Mangsa kemudiannya ditinggalkan sementara tiga pendaki lain meneruskan perjalanan untuk memohon bantuan pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan Khamis pagi.

Menurutnya, sebaik berjaya mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung, tiga pendaki itu kembali ke tempat mangsa ditinggalkan, namun mangsa telah tiada.

“Panggilan kecemasan diterima pada jam 8 malam tadi dan operasi pencarian sedang dijalankan, hingga jam 9 pagi ini, mangsa masih belum ditemui,” ujarnya.