IPOH – Seorang lelaki diberkas selepas polis berjaya merampas dadah dengan nilai anggaran RM560 dalam satu serbuan di hadapan rumah kedai kosong di Persiaran Jelapang 5, Taman Silibin, di sini pada lewat petang tadi.

Dalam serbuan pada pukul 7.30 malam itu, seorang lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di hadapan premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata satu beg kecil bertulis Soon Yik Jeweller di dalamnya mengandungi 14 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ganja yang dipegang ditangan kanan saspek.

 

“Berat kasar ganja ialah 20.67 gram anggaran nilai berjumlah RM560.

 

“Suspek merupakan seorang penganggur beralamat di Jalan Puyu, Sungai Tapah Tambahan, Ipoh dan hasil siasatan mendapati suspek tiada rekod lampau,” katanya kepada Suara Perak.

 

Menurut  beliau, tiada sitaan harta benda dilakukan terhadap suspek.

 

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati,” katanya.