MIRI: Hanya disebabkan perselisihan faham, seorang lelaki warga emas tergamak merempuh sebelum menggilis menantu perempuannya berhampiran Poliklinik Miri, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang, suspek yang berusia 78 tahun bertindak mengundurkan kereta Proton Saga dipandunya sebelum melanggar dan menggilis mangsa.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang berusia 42 tahun cedera parah di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang ditemani bapa mentuanya itu ke klinik berkenaan untuk membawa anak perempuannya yang mengalami gastrik.

Setiba di klinik itu, wanita terbabit meminta suspek pulang bersama anak lelakinya berusia 16 tahun, manakala mangsa membawa anak perempuannya mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, suspek bertindak melulu mengundurkan kereta dipandunya ketika mangsa berada di belakang kereta berkenaan dan dengan sengaja melanggar mangsa sehingga terjatuh.

“Suspek kemudian menggilis mangsa sehingga mengalami kecederaan teruk di kepala dan badannya,” katanya.

Katanya, anak lelaki mangsa yang berada dalam kereta cuba menghalang perbuatan datuknya itu, namun tidak diendahkan suspek lalu terus menggilis mangsa.

“Suspek sudah ditahan polis di rumahnya sejurus menerima laporan mengenai insiden berkenaan.

“Kes disiasat mengikut 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh. Punca kejadian dipercayai akibat masalah keluarga itu,” katanya.

Difahamkan, suspek tidak menyukai menantu perempuannya itu sejak mangsa berkahwin dengan anak lelakinya – berita harian