TAPAH: Seorang lelaki berusia 26 tahun rentung dalam satu kemalangan ngeri membabitkan dua kereta di KM321.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran susur keluar Tapah di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata, dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, mangsa Lim Chin Teck, maut di tempat kejadian setelah kereta dipandunya terbabas dan dirempuh sebuah kereta lain.

Kedua-dua kenderaan tersebut yang menghala ke Utara dari Kuala Lumpur, hangus terbakar, katanya.

“Chin Teck yang memandu Proton Iswara gagal mengawal keretanya lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan.

“Keretanya memasuki ke lorong kanan lalu dirempuh oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang tidak sempat mengelak. Kereta mangsa terheret sejauh 100 meter,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Tambah Som Sak Din, pemandu MPV berusia 53 tahun dan dua anak lelakinya berumur 26 dan 14 tahun itu bagaimanapun terselamat kerana sempat keluar dari kenderaan mereka.

Katanya, mereka telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kampar.

“Mayat Chin Teck pula dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Tarmizi Rashid berkata, pasukannya tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada kira-kira jam 3.30 pagi.

Katanya, ketika mereka tiba, kedua-dua kereta sedang terbakar.

“Kereta tersebut musnah terbakar namun kita berjaya memadamkan kebakaran menggunakan air dari jentera serta mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah MPV Toyota Estima,” ujarnya.

Gambar-Sinarharian