SITIAWAN: Seorang wanita ditemui mati tergantung di pintu bilik rumah sewanya di Kampung Batu 9, Lekir di sini, tengah hari tadi.

Mayat wanita berusia 24 tahun itu ditemui jam 12.30 tengah hari oleh jirannya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis melalui talian MERS 999.

Difahamkan, mangsa tinggal di rumah yang disewa bersama suami dan dua anak lelaki mereka.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata mangsa dipercayai menggunakan tali untuk menggantungkan diri dan kejadian berlaku ketika mangsa bersendirian di rumah.

“Ketika kejadian, suami mangsa tiada di rumah sewa mereka kerana keluar bekerja.

“Tiada unsur jenayah dalam kejadian itu, namun punca kejadian masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Muhammad Hanif berkata, mayat wanita itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan punca kematian kerana jerutan di leher akibat tergantung.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, usaha pihak media untuk menemubual ahli keluarga mangsa gagal.

Kematian wanita itu mula viral sejak tengah hari tadi menerusi aplikasi WhatsApp – berita harian