SIBU: Seorang wanita terbunuh, selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan terbalik dalam parit di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, petang semalam.

Kemalangan jam 4.15 petang itu menyebabkan mangsa Flora Nuing, 34, mati di tempat kejadian akibat terperangkap di tempat duduk pemandu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.22 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, Mitsubishi Triton dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan akibat jalan licin kerana hujan lebat ketika kemalangan berlaku.

“Mangsa disyaki gagal mengawal kenderaannya ketika melalui jalan berkenaan yang licin kerana hujan lebat.

“Kenderaannya terbabas sebelum terbalik dalam parit di kanan jalan menyebabkan mangsa tidak dapat menyelamatkan diri kerana terperangkap di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pasukan bomba terpaksa menarik keluar pacuan empat roda terbabit dari parit berkenaan sebelum dapat mengeluarkan mangsa.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sibu bagi bedah siasat dan diserahkan kepada keluarga,” katanya – berita harian