IPOH– Peminat bola sepak di negeri ini akan diberikan masuk percuma bagi menyaksikan perlawanan PKNP FC vs Pahang dalam aksi separuh akhir kedua Shopee Piala FA 2018 di Stadium Perak esok.

Keputusan masuk percuma itu dibuat Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu sebagai langkah mengumpulkan sebanyak sokongan yang boleh kalangan rakyat Perak terhadap pasukan negeri yang akan beraksi esok.

Menurut beliau pintu stadium akan dibuka seluas-luas kepada semua rakyat di negeri ini dengan syarat sokongan penuh perlu diberi kepada skuad PKNP FC.

“Kepada semua pemain-pemain yang akan bertarung pada malam separuh akhir Piala FA nanti saya mendaoakan agar kita mendapat kemenangan.

“Tetapi lebih penting pemain mesti bermain dengan bersungguh-sungguh, pastikan semangat juang yang kuat mesti ditunjukkan atas padang, disiplin juga perlu dijaga agar nama baik negeri kita sentiasa dijaga,” katanya melalui satu video yang dikeluarkan sebentar tadi.

Aksi kedua suku akhir menentang Pahang adalah penting bagi skuad Perak kerana ia merupakan perhitungan kalah mati bagi merebut slot ke perlawanan akhir.

Pada 23 Jun lalu, Pahang hanya sekadar seri 1-1 dengan PKNP FC pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur.