IPOH – Sepasang kekasih, masing-masing berusia 36 dan 34 tahun dicekup oleh Polis Perak ketika sedang leka melakukan urusan jual beli dadah di tepi jalan Taman Intan, Parit Buntar pada Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner V R. Ravi Chandran berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas lapan bungkusan plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 3.62 kilogram bernilai RM90,500.

Menurut beliau dalam serbuan sekitar jam 10.30 malam itu, lelaki yang bekerja sebagai petani dan teman wanitanya yang merupakan penganggur terlibat telah ditahan pihaknnya di dalam sebuah kenderaan jenis waja selepas melakukan intipan selama lebih dua bulan.

“Masing-masing suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan ujian urin mereka didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kita percaya mereka ini aktif mengedar dadah di sekitar daerah Kerian,” katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini pada Isnin.

Tambah beliau, dadah jenis heroin yang boleh dibekalkan kepada 3,000 penagih itu telah ditemui disorok dalam sebuah beg galas kanak-kanak yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

“Mereka kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.