IPOH: Seorang lelaki warga Nigeria dan kekasihnya warga tempatan bakal berhadapan hukuman penjara 10 tahun selepas mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memperdayakan seorang wanita melibatkan kerugian RM3,200 Februari lepas.

 

Tertuduh, Udeze Ifeanyi John, 32, dan Normazaiton Muiz, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

 

Mengikut pertuduhan, mereka berdua didakwa bersama-sama menipu Chong Sien Yee, 27, dengan memperdayakan mangsa menyerahkan wang RM3,200 bagi tujuan pembayaran cukai sebuah bungkusan yang tidak wujud di sebuah bank di Jalan Gopeng di sini pada pukul 3.15 petang 5 Februari lalu.

 

Kedua-dua tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Simon Sabapathy.

 

Nurul Qistini memohon mahkamah untuk tidak membenarkan mahkamah memberi ikat jamin terhadap tertuduh namun dibantah peguam bela memandangkan Udeze merupakan seorang pelajar manakala Normaizaton masih mempunyai tanggjawab menjaga ibu bapanya.

 

 

 

Majistret Nurul Hafizah membenarkan Udeze diikat jamin RM7,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

 

Normaizaton pula dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

 

Sehingga kini, kedua-dua tertuduh masih belum membayar wang jaminan tersebut.

 

Mahkamah menetapkan 2 April sebagai tarikh sebutan semula kes.