BAGAN SERAI: Sepasang suami isteri penagih dadah tegar sanggup membawa bayi mereka berusia 18 bulan ke sebuah rumah yang dijadikan sarang penagihan untuk memuaskan nafsu mereka terhadap bahan terlarang itu.

Lebih malang lagi, bayi perempuan itu sedang menyusu badan ketika ibunya ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kerian.

Ketua Operasi AADK Kerian, Shahrul Nizam Baharuddin berkata, pasangan suami isteri berusia 49 dan 33 tahun itu adalah antara 14 individu yang ditahan AADK dalam Ops Perdana yang dijalankan di Parit Haji Dollah, Selinsing bermula jam 6.30 pagi hingga 2 petang Rabu.

“Pasangan tersebut ditahan ketika sedang memasuki sarang penagihan yang merupakan rumah salah seorang penagih yang ditahan.

“Hasil soal siasat bapa kepada bayi berkenaan sudah terlibat dalam najis dadah sejak 10 tahun lalu manakala isterinya baru setahun,” katanya kepada selepas operasi tamat.

Menurut Shahrul Nizam, ibu bayi tersebut menceritakan bahawa dia terlibat dengan penagihan dadah selepas terpengaruh dengan suaminya yang hanya bekerja kampung.

Katanya, pasangan itu mempunyai empat orang anak dan tinggal bersama emak serta kakak wanita terbabit.