LUMUT – Sepasang ular sawa sepanjang lima meter dengan berat lebih 100 kilogram berjaya ditangkap oleh anggota Bomba dan Penyelamat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, pada Khamis.

Ular sawa batik dipercayai sedang mengawan itu, ditemui anggota TLDM yang bertugas di kawasan hutan berhampiran kira-kira jam 12 tengahari.

Pegawai Bomba dan Penyelamat TLDM, Leftenan Komander Meor Fuad Zakaria berkata, pihaknya terkejut kerana reptilia yang disangka kecil itu sebenarnya memerlukan kekuatan 10 anggota bagi menariknya keluar dari semak. 

“Setibanya di lokasi, kita hanya lihat ekor ular itu kecil dan ketika usaha menariknya keluar, ia memerlukan beberapa anggota untuk mengangkat,” katanya.

Beliau memberitahu, operasi mengambil masa lebih 30 minit sebelum reptilia itu disimpan untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara esok.

Menurut beliau, ketika operasi, haiwan itu tidak agresif dan pihaknya menjaga haiwan tersebut termasuk memandikannya.