KAMPAR: Tiga sepupu terbunuh selepas kenderaan Toyota Hilux dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori membawa muatan surat khabar di Kilometer 291.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, hari ini.

Kemalangan jam 4.40 pagi itu menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda itu Nishan Singh Dhillon A/L Baldev Singh, 30, dan dua penumpang Rajminder Singh A/L Niranjan Singh, 26, serta Gurdial Singh A/L Swaran Singh, 28 tahun maut di tempat kejadian. Semua mangsa berasal dari Kampar.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati ke semua mangsa dalam perjalanan ke rumah mereka di Kampar dari Ipoh.

“Pemandu lori, A. Vellusamy, 40, pula dari Ipoh menuju ke Tapah. Pemandu lori berada pada lorong kiri, ketika sampai di tempat kejadian apabila tiba-tiba Toyota Hilux yang dipandu oleh Nishan Singh Dillon bersama dengan Rajminder Singh dan Gurdial Singh datang dari arah belakang pada lorong kanan dan telah melanggar bahagian bucu tepi sebelah kanan lori tersebut mengakibatkan ia terbabas melanggar guardrail sebelah kiri dan terbalik.

“Impak pelanggaran menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu telah hilang kawalan, terbabas dan mengakibatkan ketiga-tiga mangsa tercampak keluar daripada Toyota Hilux,” katanya apabila dihubungi oleh Suara Perak.

Ng berkata, akibat kemalangan tersebut ke semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kampar.
“Pemandu lori, Vellusamy, dari Bidor mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun,” kata beliau.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan lurus, kering dengan dua lorong satu hala. Keadaan cuaca baik, gelap tanpa lampu jalan kerana awal pagi.

“Toyota Hilux dinaiki semua mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian kiri manakala lori pula mengalami kerosakan pada bahagian sebelah kanan.
“Waris mangsa telah dimaklumkan dan tiada tangkapan dibuat,” jelas beliau.

Ng berkata siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kenderaan terlibat dibawa ke Puspakom Gopeng.