IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan secara terperinci dan mengambil tindakan terhadap pendedahan cubaan jatuhkan Menteri Besar.

Bagaimanapun, katanya, bagi pihak PH negeri, beliau selaku Pengerusi berpendirian untuk tidak mengambil sebarang tindakan buat masa ini.

Menurutnya, setakat ini, beliau masih belum bertanya Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari mengenai pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad seolah-olah wakil rakyat DAP itu terlibat dalam cubaan berkenaan.

“Kalau saya punya mana-mana Exco atau ADUN tidak ikut arahan parti, saya akan bertanya dan akan ambil tindakan seterusnya jika berlaku.

“Tetapi setakat hari ini tidak ada ADUN atau exco dari PH yang bertindak secara kasar yang saya nampak, yang saya tak nampak saya tak tahu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berpendapat, sekiranya ada ADUN daripada PH yang ingin lompat parti atau bekerjasama dengan UMNO dan PAS yang tidak setara dengan kerajaan, ia adalah tindakan tidak bijak.

“Begitu juga kalau kita yang dah ada kerajaan nak jatuhkan kerajaan pada pandangan saya ia bukan tindakan yang bijak, saya yakin dengan barisan exco dan ADUN PH, they are not silly.

“Rakyat telah pilih mereka dan tentu mereka mempunyai kelebihan sebagai pemimpin dan wakil rakyat. I’m pretty sure mereka tidak akan khianati harapan rakyat,” katanya.