PETALING JAYA: Wang tunai bertukar jadi daun kering!

Itulah pengalaman yang dilalui seorang pemandu Grab apabila tambang RM8 yang dibayar seorang penumpang wanita tiba-tiba bertukar menjadi daun kering pada malam Sabtu.

Kisah aneh itu dikongsi isterinya menerusi satu bebenang di Twitter pada Sabtu dan diulang kicau lebih 12,000 kali.

Menurut wanita tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Farah, suaminya mengambil penumpang berkenaan berhampiran Pasar Gunung Rapat menuju ke Jalan Hoover di Ipoh, Perak.

Posting Farah pada Sabtu menjadi tular di Twitter.

“Masa dia ambil penumpang tu kira-kira pukul 7 malam, dah Maghrib. Kebetulan kawasan tu dekat dengan rumah kami dan itu trip terakhir, jadi dia terima permintaan penumpang itu.

“Dia turunkan penumpang tu dalam pukul 7.10 malam. Wanita tu memang bagi duit tambang RM8 dalam bentuk RM1 sebanyak lapan keping dan suami pun masukkan wang tu dalam dompet dia.

“Namun sudah jadi amalan dia akan periksa dompet selepas hantar penumpang sebab dia akan pindahkan duit tersebut ke dalam ‘pouch’. Bila buka je dompet, tengok ada daun,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Terkejut dengan kejadian itu, suami Farah yang hanya ingin dikenali sebagai Zed terus memaklumkan mengenai perkara itu kepadanya.

“Suami mesej saya dekat WhatsApp mengenai daun tu. Saya tak fikir langsung benda pelik-pelik. Ingatkan suami nak buat lawak sebab dia memang suka bergurau.

“Sampai je dekat rumah, bila dia buka cerita tu saya terkedu seketika. Biasalah mesti fikir hantu dulu. Suami pun pelik sebab daun kering dalam dompet dia tu ada lapan helai.

Farah berkongsi paparan skrin mesej suaminya mengenai kejadian aneh itu di Twitter.

“Suami pun terus buang daun tu sebab macam bahaya nak bawa balik benda dia sendiri tak tahu apa. Lagipun kami ada anak kecil,” katanya.

Farah berkata suaminya memaklumkan wanita tersebut turut berkelakuan aneh semasa di dalam kereta.

“Suami pun macam tak sedap hati sebab dia kata gaya perempuan tu pun pelik. Dia kata wanita tu suka gelak. Sikit-sikit gelak. Bila langgar lubang pun gelak.

“Dari gaya percakapan wanita tu orang Indonesia. Tapi sampai sekarang kami masih lagi tertanya sama ada dia adalah manusia atau sebaliknya,” katanya.

Meskipun rata-rata netizen menyifatkan wanita tersebut sebagai makhluk ghaib, Farah berkata dia percaya suaminya sudah dipukau.

“Ada juga yang cakap wanita tu mungkin hantu. Ini kerana hantu pun guna duit dekat alam bunian untuk buat sebarang bayaran.

“Namun saya lebih suka buat kesimpulan wanita itu adalah manusia sebenar dan dia mengamalkan ilmu tarik duit. Itu lebih logik,” katanya.

Farah turut meluahkan rasa kesal sekiranya wanita tersebut menggunakan ilmu pukau untuk mengelak daripada membayar wang tambang perkhidmatan Grab yang disertai suaminya sejak setahun yang lalu.

“Pelik ada juga orang zaman sekarang ni nak guna ilmu untuk bayar Grab. Dahlah tambang RM8 je, kalau RM800 fahamlah juga.

“Jadi kepada pemandu Grab sila berhati-hati. Nasiblah tambang tadi hanya RM8 je. Kalau RM60 ke apa, rugi kena pukau. Tapi saya anggap itu bukan rezeki suami,” katanya.

Resit perjalanan wanita tersebut turut dikongsi Farah.

Jelas Farah lagi, itu merupakan pengalaman pelik kedua yang pernah dilalui suaminya sepanjang menjadi pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan itu.

“Insiden pertama dulu masa suami buat Uber tahun lepas. Pelanggan umur macam nenek-neneklah. Suami tak syak apa-apa. Pandu kereta macam biasa, memang kena lalu kawasan kubur. Tapi bila sampai kat situ, peliknya GPS suruh pusing kiri masuk dalam kawasan kubur tu.

“Suami tak ikut GPS tu. Dia tanya nenek tu “terus lagi ya?” Nenek tu cakap “ya terus lagi”. Tapi destinasi tu memang depan sikit dari kubur, tanah lapang. Bila suami pusing belakang nak beritahu nenek tu dah sampai, tengok tak ada orang. Bunyi pintu buka pun tak ada.

“Tapi trip yang tu suami tak rugilah sebab nenek tu guna kod promosi Uber. Nak kata malam sangat pun tak tapi insiden berlaku sekitar puku 10.30 malam. Esoknya suami berhenti bawa uber sehari, kemudian sambung balik macam biasa,” katanya.

Antara komen netizen mengenai insiden aneh itu.

Bagaimanapun ibu kepada seorang anak itu berkata, suaminya turut pernah bertembung dengan seorang penunggang motosikal tanpa muka semasa balik bertemu klien untuk urusan jualan beli kenderaan.

“Insiden ini paling menakutkan. Berlaku pada tahun lepas juga, kira-kira pukul 11 malam sewaktu suami balik jumpa klien. Dia berhenti dekat satu simpang, ada sebuah motosikal pun berhenti.

“Dia tengok muka suami saya… suami pun tengoklah balik, ‘orang’ tu tak ada muka. Demam jugalah dia.

“Nasiblah rumah ibu mertua dekat. Jadi suami balik mandi kat rumah mak dia dulu sebab kami ada anak kecil. Bimbang benda tu ikut dia balik,” katanya – mstar