IPOH: Tindakan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP – Sitiawan) yang sering menyerang Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) walaupun perbadanan itu berjaya menangani masalah ketirisan pasir di negeri ini dengan cemerlang, dipersoalkan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata beliau musykil dengan niat sebenar Koo Ham yang tidak senang hati dengan perdanan berkenaan walaupun pihak kerajaan negeri telah menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan berkaitannya.

Kata beliau, sebagai Ahil Dewan Undangan Negeri Perak, Ngeh seharusnya menyokong serta gembira kerana sejak pengaktifan semula MB Inc pada 2014, perbadanan itu telah berjaya meningkatkan hasil royalti pasir kepada 61 kali ganda.

“MB Inc telah berjaya mengurangkan ketirisan pasir yang teruk sebelum ini, pengusaha-pengusaha pasir haram yang mana mereka ambil tetapi tidak bayar kepada kerajaan negeri, tapi sekarang dah berjaya ditangani sehingga menjadi model kepada negeri-negeri lain.

“Saya lihat kenyataan akhbar dia (Ngeh) semalam katakan zaman dia dulu pengusaha-pengusaha pasir persendirian untung besar.

“Saya musykil, Sitiawan ini berkawan dengan pengusaha pasir di siang hari ke malam hari? Berkawan dengan pengusaha pasir hari bekerja atau hari cuti? Atau pengusaha pasir yang ada lesen atau pun tidak ada lesen?,” soal beliau ketika mengulung perbahasan di sidang DUN pada Selasa.

“Kenapa takut sangat dengan MB Inc? Adakah kerana kawan pengusaha-pengusaha “separuh masa” yang dikatakan Sitiawan tadi? Kenapa takut sangat….,” tambah beliau.

Persoalan Zahir itu kemudian mengamatkan suasana dewan apabila kesemua ADUN kerajaan negeri mengetuk meja tanda setuju.

Terdahulu Ngeh beberapa kali telah mencelah penggulungan Zahir dan membangkitkan isu perbadanan berkenaan.

“Soalan sama sentiasa ditanya dan walaupun kesemuanya telah dijawab oleh kerajaan negeri mengenai isu berbangkit namun dia (Sitiawan) masih lagi tidak pernah berpuas hati,” kata Zahir.