GEORGETOWN: Sekumpulan lelaki tempatan yang menyerang dan mengelar leher seorang pelancong lelaki warga Britain dikatakan berang kerana mangsa dan rakan bertanya mengenai wanita yang menawarkan seks.

Sumber berkata siasatan awal mendapati kumpulan pelancong berkenaan yang mabuk bertanyakan kepada beberapa lelaki tempatan sama ada mengetahui aktiviti pelacuran di kawasan berhampiran.

“Kumpulan lelaki tempatan yang juga mabuk ketika itu berang dengan soalan terbabit dan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Mereka juga mendakwa tindakan pelancong terbabit yang bertanya mengenai pelacur itu seolah-olah menuduh mereka bapa ayam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, berkata setakat ini polis sudah menahan 10 lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Mereka yang ditahan itu terdiri daripada empat lelaki warga asing manakala selebihnya adalah lelaki warga tempatan.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian 4 pagi Sabtu lalu, seorang pelancong lelaki warga Britain cedera leher selepas dikelar dengan pisau pemotong kertas di Jalan Penang, di sini.

Susulan daripada itu, polis menahan seorang suspek berusia 38 tahun serta merampas senjata yang digunakannya dalam kejadian itu – berita harian