KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk membatalkan saman sivil peguam Siti Zabedah Kasim.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membenarkan saman sivil yang difailkan Siti terhadap JAWI diteruskan sementara menunggu keputusan perbicaraan jenayah yang berkaitan

Siti mendakwa JAWI dan 18 lain membuat tangkapan secara salah dan penahanan yang tidak mengikut undang-undang semasa serbuan terhadap acara tertutup golongan transgender di sini.

Dalam penghakiman itu, mahkamah turut memerintahkan JAWI membayar kos sebanyak RM2,000 kepada Siti.

Menurut peguam Surendra Ananth, Siti telah mengemukakan dua permohonan iaitu meneruskan saman sivil terhadap JAWI dan menolak permohonan JAWI mengetepikan samannya.

“Mahkamah mengekalkan saman sivil Siti sehingga prosiding jenayah selesai dan permohonan JAWI dibatalkan dengan kos RM2,000,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Persekutuan, di sini, hari ini.

Peguam hak asasi manusia itu kini sedang berdepan perbicaraan jenayah kerana menghalang seorang pegawai dalam satu serbuan yang diadakan JAWI dalam pertandingan ratu cantik transgender yang diadakan di Hotel Renaissance di sini, pada 3 April 2016.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Jun 2017 mengarahkan Jawi memberikan butiran berkaitan pegawainya yang terlibat menahan Siti dalam acara itu.

Menurut Siti lagi, semua defendan yang menahannya hanya mempunyai bidang tugas dan kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Siti mendakwa, dia mengalami kejutan, terseksa jiwa, penderitaan dan penghinaan akibat daripada penahanan tersebut.

Mahkamah turut menetapkan 13 Disember ini sebagai tarikh pendengaran keputusan perbicaraan kes Siti manakala 16 Disember pula sebagai tarikh pengurusan kes perbicaraan jenayah.

– MalaysiaGazette