PETALING JAYA: Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata ada pemimpin PKR dan Pakatan Harapan yang mahu melihat Azmin Ali menyertai bekas parti komponen Barisan Nasional itu.

Katanya, Gerakan mendapat maklumat Azmin mahu menyertai parti itu, sebelum penyebaran video seks sejenis yang menyasarkan menteri hal ehwal ekonomi itu, tetapi beliau enggan memberi butirannya.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau ialah seorang daripada 2 lelaki dalam video itu.

“Saya tidak tahu jika mereka mewakili Azmin, tetapi ada pemimpin dari PKR, parti lain dalam PH dan NGO yang mahu melihat Azmin menyertai Gerakan,” katanya pada sidang media di Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Lau berkata, tiada rundingan terus antara Gerakan dan Azmin.

Tetapi, ketika ditanya bagaimana pemimpin PKR menyampaikan maklumat itu kepadanya, sama ada secara bersemuka atau melalui panggilan telefon, beliau enggan mendedahkan butirannya.

Beliau juga enggan memberitahu jika ada pemimpin menemuinya selepas video seks sejenis itu tersebar.

“Sesiapa saja yang bersetuju dengan ideologi Gerakan, kepercayaan kami dalam mempertahankan rakyat dan membangunkan negara, kami mengalu-alukan mereka.”

Katanya, ini ialah responsnya apabila khabar angin mengatakan Azmin akan menyertai Gerakan mula timbul dan ia tidak berubah selepas penyebaran video seks itu.

Semalam, setiausaha politik Azmin, Hilman Idham dilaporkan berkata, mustahil timbalan presiden PKR itu akan meninggalkan parti berkenaan kerana beliau mempunyai sokongan kuat dalam kalangan pimpinan parti dari peringkat Majlis Pimpinan Pusat sehingga ke sayap Pemuda dan Wanita.

Katanya, fitnah itu direka mereka yang kalah dalam pemilihan parti tahun lalu.

“Memang hasrat dia supaya Azmin keluar dan mereka boleh tunggang parti ini sesuka hati mereka. Malangnya, itu tidak akan berlaku. Azmin akan tetap bersama PKR,” katanya kepada FMT semalam ketika ditanya mengenai khabar angin itu susulan pergeserannya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam kontroversi video seks sejenis.

Spekulasi Azmin akan keluar parti tersebar minggu ini, khasnya selepas PPBM membuka keahliannya kepada golongan bukan Melayu sebagai ahli bersekutu.

Ada yang mendakwa langkah itu akan membuka laluan kepada Azmin untuk meninggalkan parti dan penyokong bukan Melayunya boleh menyertai PPBM sebagai ahli bersekutu.

-FMT