IPOH: Sesi pemadanan perniagaan yang diadakan sempena Minggu PKS 2017 dijangka lebih baik berbanding tahun-tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jika pencapaian tahun ini sama dengan tahun-tahun lalu juga sudah memadai.

“Kita tidak perlu terlalu optimis terhadap sasaran, jika sama seperti tahun lalu pun sudah baik,” katanya kepada pemberita selepas bersama-sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merasmikan Minggu PKS 2017 peringkat Perak sempena MITI Zon Utara di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Sabtu.

Selain daripada pemimpin negeri dan pusat, majlis itu turut dihadiri oleh lapan duta dan pesuruhjaya tinggi luar negara dari Bosnia, Brazil, Fiji, Iran, Lesoto, Kepulauan Solomon, Sweden dan Zambia.

Sesi pemadanan perniagaan yang diadakan sempena Minggu PKS 2016 mencatatkan potensi jualan RM72.8 juta, meningkat 12 peratus berbanding RM60.03 juta tahun sebelumnya.

Sementara itu di dalam ucapannya, Mustapa memberitahu, sebanyak 30 syarikat multinasional dan tempatan terlibat sebagai pemamer dalam jib fair yang menawarkan hampir 10,000 peluang pekerjaan.

Dr Zambry di dalam ucapannya pula mengucapkan terima kepada MITI kerana memilih Perak sebagai tuan rumah MITI Day Zon Utara.

Menurut beliau kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan kementerian itu untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

“Kerajaan akan melakukan usaha terbaik untuk menarik pelabur dan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di Perak,” ujarnya.

Di majlis itu, lima usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Perak menerima Geran Peningkatan Keupayaan Enterprise Bumiputera (BEEP) berjumlah lebih RM600,000.

Mustapa kemudiannya menyerahkan kepada Dr Zambry geran BEEP untuk negeri Perak bernilai RM3.5 juta.