IPOH – Sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Senta, Bidor yang mengalami kebakaran, 21 Ogos lalu akan diteruskan seperti biasa, Isnin ini.

Exco Kerajaan Negeri, A Sivanesan berkata, ketetapan itu dibuat selepas mendapati, kebakaran melibatkan sebuah blok bangunan itu tidak menjejaskan kelas pembelajaran.

“Kelas masih selamat digunakan, begitu juga kantin, jadi sesi pembelajaran akan berjalan seperti biasa, Isnin ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, satu blok bangunan menempatkan bilik pejabat, bilik guru, bilik guru besar, bilik komputer, bilik mesyuarat, pusat sumber, stor sukan dan sebuah kelas pemulihan musnah dalam kebakaran.

Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Sivanesan berkata, kuarters guru besar yang tidak digunakan di sekolah itu akan dijadikan  pejabat pengurusan sementara.

Katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan akan mendapatkan peruntukan daripada kementerian untuk membina baharu kemudahan yang musnah.

Beliau turut meminta, Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau pemasangan elektrod bumi di bangunan sekolah terutama melibatkan sekolah Orang Asli.

Katanya, daripada penelitiannya, terdapat sekurang-kurangnya enam sekolah Orang Asli termasuk SK Kampung Senta tidak memiliki elektrod bumi menyebabkan ia terdedah kepada punca kebakaran.

Terdahulu, Sivanesan mengiringi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming merasmikan Konvensyen Pendidikan dan Pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK) (T) Negeri Perak di Dewan Bankuet.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari dan Ketua Sektor Pembangunan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri, Rahimah Mohamed.

Konvensyen dihadiri guru besar dan penolong kanan dari 134 SJKT seluruh negeri itu antara lain bertujuan membincangkan isu pendidikan dan pembangunan sekolah Tamil – sinar