KUANTAN: Sesi taklimat projek perumahan Taman Cherating Jaya di sebuah hotel di sini kecoh apabila hampir 100 pembeli meluahkan rasa tidak puas hati dan mendesak pemaju perumahan membayar wang pendahuluan.

Kekecohan bermula apabila seorang daripada pembeli, Md Raya Abd Hamid, 67, meminta Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Perumahan Malaysia Berhad (KPMB), P Jayakumar menghentikan taklimatnya dan meminta jaminan bila wang mereka akan dikembalikan.

Md Raya yang membeli tiga unit rumah berharga RM150,000 setiap satu mendakwa pembeli sudah tidak lagi sanggup menanggung kerugian dan mahu syarikat koperasi berkenaan membayarnya dengan segera.

“Kita tidak mahu mendengar lagi mengenai latar belakang projek atau syarikat, pembeli mahu tahu bila wang (pendahuluan) mahu dibayar.

“Projek itu sepatutnya siap pada 2016 tetapi sampai sekarang apa pun tiada di tapak berkenaan,” katanya yang mendakwa mengalami kerugian RM45,000.

Sementara itu, Liyu Tuck Fatt,60, berkata dia kecewa kerana pembeli langsung tidak berpeluang bertemu pemaju yang turut tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan seperti yang diwajibkan.

“Sepatutnya setiap tahun harus diadakan mesyuarat agung, hanya tahun ini mereka buat selepas pembeli mula membangkitkannya termasuk di media.

“Seolah-olah macam ada penipuan,” katanya.

Dalam pada itu, Jayakumar berkata, pihaknya akan berusaha membayar kembali wang berkenaan selewat-lewatnya 30 Jun tahun depan dan meminta pembeli bersabar.

“Kita akan memberikan surat pemberitahuan berhubung perkara itu dalam tempoh 14 hari sebagai jaminan.

“Kita ada aset untuk dicairkan bagi membayar kembali wang berkenaan, projek ini bermasalah berikutan status tanah… sepatutnya tiada kerana pelan projek sudah pun diluluskan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan bertemu dengan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Pahang pada Selasa ini seperti diarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mahu isu berkenaan diselesaikan segera – berita harian