IPOH 13 Mei – Serangan pihak pembangkang malah daripada dalaman parti sendiri tidak menggugat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sudah setahun menerajui Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau sedar sejak pembentukan kerajaan negeri pada 12 Mei tahun lalu lagi, pembangkang dan dari dalaman parti sendiri mempertikai kemampuan kerajaan negeri PH untuk bertahan.

Namun, kata beliau, berkat ketentuan Allah kerajaan negeri berjaya kini melangkau setahun, tempoh yang melebihi kerajaan Pakatan Rakyat yang pernah menerajui Perak selama 11 bulan.

Malah, katanya, beliau masih menjadi Menteri Besar walaupun dikatakan wujud gerakan untuk menjatuhkannya.

“Apa rahsia saya bertahan? Allah jaga saya. Saya percaya itu, kalau saya sakit dan tak dapat menjalankan tanggungjawab tentu saya memikirkan untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama wartawan negeri Perak sempena setahun kerajaan PH Perak di sini semalam.

Menurut Ahmad Faizal, setelah setahun menerajui Perak, beliau masih belajar lagi banyak perkara antaranya daripada pemimpin yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) seperti bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kata beliau, Mustapa antara pemimpin dalam kerajaan dahulu yang berpengalaman luas terutama dalam bidang ekonomi yang sering dijadi rujukan jika beliau ada masalah.

“Saya tak malu akui jika saya tak faham tentang satu perkara saya akan bertanya, kalau pun tidak kepada exco, kepada penjawat awam.

“Saya juga ada rahsia, saya juga ada ‘direct access’ dengan Perdana Menteri yang sentiasa mendengar demi kepentingan negeri dan negara yang mana beliau sentiasa memberi nasihat

kepada saya.

“Saya juga mempunyai sahabat yang jauh lebih berpengalaman iaitu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir serta bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan membantu jika saya mengalami masalah,” katanya. – UTUSAN ONLINE