IPOH: Setiausaha Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Perak didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas dua tuduhan mencedera dan melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita.

Voon Chee Wai, 48, menghadapi tuduhan pertama dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Chang Yoke Yee, 42, di dalam bilik nombor 1809 Hotel Kinta Riverfront, ipoh pada 18 Disember 2016 lebih kurang jam 2.45 pagi.

Voon menghadapi pertuduhan itu mengikut seksyen 323 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara selama setahun atau denda RM2,000 atau keduanya sekali.

Voon menghadapi tuduhan kedua menggunakan kekerasan terhadap Chang Yoke Yee, 42, dengan menarik tangan wanita itu masuk ke dalam lift sehingga mendatangkan ketakutan.

Voon dituduh melakukan perbuatan itu di hotel yang sama pada 18 Disember 2016 lebih kurang jam 3.40 pagi.

Dia melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,000 atau keduanya sekali.

Voon mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Siti Hanum Mohd Sah menetapkan sebutan semula kes itu pada 11 April ini.