KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Megat Firdouz Megat Junid menafikan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, bahawa terdapat beberapa syarikat dilantik untuk melaksanakan program di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemeriksaan balas oleh peguam Muhammaad Rafique Rashid Ali dalam prosiding perbicaraan membabitkan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan KBS, Otman Arsahd, 58, yang didakwa menyalah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM38.4 juta.

Megat Firdouz, 48, dalam keterangannya juga menafikan beberapa syarikat itu dilantik menggunakan peruntukan KBS demi kepentingan politik Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau juga menafikan ada pembekal dalam kalangan anggota UMNO pelbagai peringkat berjumpa dengannya bagi mendapatkan projek KBS.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 19 Mac ini.

Otman dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap 32 pertuduhan menyalahguna kedudukan dan membuat tuntutan palsu bernilai RM38.4 juta di pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, dekat sini, antara 2 Mei 2012 hingga 18 November 2015.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Otman turut didakwa bersama ahli perniagaan, Siti Rohanah Hussien, 43, dan suaminya Abdul Gafar Abdurahiman, 43, atas 190 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM16.63 juta, empat tahun lalu – berita harian