IPOH: Seorang setiausaha politik menyerahkan kepada polis supaya membuat siasatan berhubung penularan gambar seorang lelaki menyerupainya berada dalam keadaan mengaibkan dengan seorang wanita, yang tersebar melalui media sosial sejak beberapa hari lalu.

Cheong Chee Khing, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, berkata polis sudah merakam keterangan beliau pagi semalam dan menyerahkan kepada pasukan berkenaan untuk membuat siasatan lanjut.

“Sekarang, kes ini berada dalam siasatan polis, jadi saya tidak boleh komen mengenainya (sehingga polis selesai menjalankan siasatan),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan atau menafikan gambar berkenaan yang mula tersebar melalui Facebook seorang wanita yang mendakwa sebagai isteri Chee Khing yang juga bekas Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Bercham.

Dalam Facebook berkenaan, wanita itu menulis dalam bahasa Mandarin dan Melayu memberi peringatan kepada mana-mana wanita lain agar tidak mengganggu suaminya kerana Chee Khing tidak berani, tidak mungkin dan tidak akan bercerai dengannya.

Beliau mendakwa sepanjang perkahwinan mereka, ramai wanita cuba merobohkan rumahtangga mereka dan sudah biasa dengan keadaan begitu tetapi mengingatkan bahawa tidak mungkin Chee Khing akan menceraikannya.

Sementara itu, menurut sumber, gambar yang tular itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilihan DAP Perak yang akan diadakan pada 14 Oktober ini.

Katanya, Chee Khing dikaitkan dengan pasukan yang diketuai Naib Pengerusi DAP kebangsaan, M Kulasegaran dan Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong, yang dikatakan tidak sehaluan dengan satu lagi pasukan diketuai Timbalan Setiausaha Agung yang juga Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming, bersama sepupunya yang juga Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Beliau berkata, tahun lalu Chee Khing juga menghadapi masalah lebih kurang sama apabila seorang wanita membuat laporan polis mendakwa dirompak oleh bekas wakil rakyat itu.

Katanya, wanita itu bagaimanapun menarik balik laporan polisnya selepas Chee Khing pula membuat laporan polis terhadap wanita berkenaan – berita harian