KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini atas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan projek pembangunan luar bandar yang bernilai RM1.5 bilion.

Shafie yang diiringi peguamnya, Martin Tommy dan Loretto Padua Jr tiba pada pukul 5.15 petang Khamis.

Hadir sama isteri Shafie, Datin Seri Shuryani Shuaib dan Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Peter Anthony yang merupakan orang pertama ditahan oleh SPRM berhubung siasatan projek-projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Projek-projek tersebut dilaksanakan antara tahun 2009 dan 2015 iaitu ketika Shafie mengetuai kementerian itu.

Terdahulu, Shafie tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.30 petang.

Beliau disambut oleh penyokongnya ketika dia pulang ke rumah untuk menunaikan solat sebelum pergi ke pejabat SPRM untuk memberi kenyataan.

Semasa ditemui di rumahnya di Luyang dekat sini, Shafie berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dalam siasatan SPRM.

Pada Rabu malam, beliau diminta hadir oleh SPRM untuk memberikan kenyataannya.

“Sebab itulah saya terbang dari Kuala Lumpur,” katanya.

Shafie juga berkata dia sedih dengan berita penahanan dua adik-beradiknya yang lain, Hamid dan Yusof.

Bagaimanapun, beliau berkata beliau memahami bahawa mereka hanya membantu siasatan dan SPRM sedang melakukan tugasnya.
Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/10/19/shapie-apdal-sprm/#gX51lZddP5SWL2zr.99