TAIPING – Lebih 30 ahli akar umbi Bersatu Bahagian Bukit Gantang membidas tindakan bekas ketuanya, Datuk Shaharuddin Rashid bersama beberapa ketua bahagian lain yang menuntut Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan parti dalam satu sidang media di sini semalam.

Jurucakap akar umbi, Roslan Mat Dan berkata, Shaharuddin dan kesemua bekas pemimpin bahagian Bersatu terlibat tidak layak mengemukakan tuntutan berkenaan kerana mereka sebenarnya merupakan antara ketua Bahagian parti yang bermasalah sebelum PRU14 lagi.

Menurutnya, Shaharuddin yang turut bertanding sebagai calon ADUN Trong sebelum ini, juga gagal mendaftarkan Bersatu Bahagian Bukit Gantang sejak sebelum PRU14.

“Tindakan tidak bertanggungjawab beliau menimbulkan tanda tanya dan tidak puas hati dalam kalangan kami di peringkat akar umbi pada waktu itu.

“Pendaftaran Bersatu peringkat Bahagian adalah perkara amat penting, tapi beliau dilihat sengaja menangguhkannya atas alasan tidak masuk akal seperti borang pendaftaran dihantar hilang dan sebagainya.

“Apabila Bahagian tidak didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan, maka secara tidak langsung ia melumpuhkan operasi dan gerak kerja parti pada pilihan raya umum dan kami amat menyakini senario itu merupakan usaha sabotaj Shaharuddin,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini petang tadi – sinar harian