IPOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim diminta membantu kerajaan negeri Perak untuk menyelesaikan segera masalah banjir yang kerapkali berlaku di kawasan Padang Serai, Beruas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, punca utama kepada masalah itu adalah kerana Sungai Beruas kini menjadi semakin sempit, menyebabkan airnya tidak dapat mengalir ke muara.

“Saya sudah berkali-kali pergi ke kawasan itu, kita perlukan pertolongan kerajaan Persekutuan di mana Sungai Beruas itu menjadi masalah utama kerana air tidak dapat mengalir sampai ke muara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada Selasa.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim,

Beliau diminta mengulas kenyataan Shahidan baru-baru ini yang menggesa kerajaan negeri Perak agar menghentikan pemberian lesen pembalakan selama setahun atau dua tahun, sekiranya berlaku peneroka hutan.

Shahidan semasa melawat ke pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai baru-baru ini berkata, aktiviti pembalakan perlu dihentikan serta merta bagi memulihara hutan dan mengelak berlakunya banjir besar.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Dr Zambry menasihatkan menteri berkenaan supaya mendapatkan maklumat terlebih dahulu daripada kerajaan negeri dan bukan hanya terus membuat kenyataan begitu.

“Beliau kena spesifiklah, tidak boleh hanya buat kenyataan begitu dan sepatutnya merujuklah kepada kerajaan negeri, beliau pergi ke Beruas pun saya tidak tahu sebab tidak dimaklumkan,” kata Menteri Besar.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah mengurangkan jumlah pembalakan di negeri ini.

“Umpamanya, saya telah sebutkan bagaimana dari segi tindakan-tindakan pengurangan jumlah pembalakan yang kita lakukan sepanjang zaman saya, kita mengurangkan dari segi kelulusan, demikian juga dari segi penanaman semula.

“Kita melaksanakan pelbagai polisi, sebagai contoh penanaman satu juta pokok balak dan sekarang ini sudah sampai ke penanaman lima juta pokok,” tambah beliau.